Khamis, 29 Julai 2010

Pantun Ciptaan Saya

Sebagi aktiviti lanjutan sesi 'Mari Berpantun', cikgu menggalakkan saya mencipta pantun yang berbentuk moral. Ini kali pertama saya mencipta pantun saya sendiri. Cuba baca pantun yang saya telah cipta ini.

Berjalan-jalan berbatu-batu
Singgah sebentar di sebuah perigi
Janganlah kita malas membantu
Nanti diri sendiri yang akan rugi.

Moral: Kita mesti sentiasa bantu-membantu, untuk orang lain dan juga diri sendiri. Jika kita malas, kita tidak akan dapat apa-apa kejayaan.

Bagaimana? Bagus atau tidak? Berilah komen anda.

Sabtu, 24 Julai 2010

Lawatan ke Muizum Penyu dan Kura-kura


Kelas Bahasa Melayu saya telah melawat ke Muzium Penyu dan Kura-kura pada minggu lalu. Lawatan itu sangat menyeronokkan. Kami  ke sana untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan penyu dan kura-kura. Kami juga berpeluang untuk memberi makan kepada penyu dan kura-kura. Gambar ini menunjukkan saya sedang memberikan kura-kura makan timun.

Saya turut dapat melihat seekor penyu sedang bertelur. Kasihan penyu itu. Air matanya mengalir semasa ia bertelur. Tentu sakit.

Kulit penyu ini melengkong ke dalam 
Pemandu wisata juga menunjukkan kami seekor penyu yang cacat. Penyu itu tidak dijaga dengan baik, sebab itu kulitnya melengkong ke dalam.
Telur-telur yang bujur merupakan telur-telur yang sudah rosak dan tidak boleh menetas. Telur-telur ini mempunyai kulit yang keras.                        
Telur-telur penyu yang tidak boleh menetas

Terdapat beberapa perbezaan antara penyu dan kura-kura. Antaranya ialah kehidupan mereka. Penyu boleh tinggal di darat dan di laut. Manakala kura-kura hanya boleh hidup di darat.


Hasil lawatan ini, kami disuruh membuat sebuah video mengenai kehidpuan penyu dan kura-kura. Kami telah diajar menggunakan Windows Movie Maker untuk menghasilkan sebuah video. Inilah hasil video saya.


Khamis, 22 Julai 2010

Pondok Buruk

Dalam pelajaran modular sastera, cikgu telah menayangkan sebuah klip video mengenai pondok buruk. Pondok buruk merupakan sebuah rumah kecil yang sudah lama tidak didiami orang. Selepas menontoni klip video itu, cikgu menyuruh kami melukis gambar pondok buruk. Ini hasil lukisan saya:


Gambar pondok buruk saya
Setelah berbincang mengenai keadaan pondok buruk, cikgu menyuruh kami mengarang sebuah cerita tentang pondok buruk.:

Inilah hasil karangan saya:

                   "Krik! Krik!” bunyi cengkerik memecahkan suasana malam yang sepi dan sunyi. Amran dan kawan-kawannya tidak sabar untuk pergi menyiasat pondok buruk yang mereka nampak kelmarin.  Berhampiran rumah mereka, terdapat sebuah kawasan tanah yang dikelilingi semak-samun.  Di situlah mereka ternampak pondok itu sewaktu berlari-lari anak pada petang itu. 

                   Pada malam itu, Johan, Nurul dan Aisyah pun muncul di depan pintu rumahnya.

                   “Hore! Akhirnya kita akan menjadi penyiasat seperti yang kita tonton di kaca televisyen!” ujar Johan.  



                   Mereka pun berjalan perlahan-lahan menuju ke arah pondok buruk itu. Johan pun menggunakan lampu suluh yang dibawa untuk memberikan mereka cahaya dalam kegelapan di semak itu. Sebentar kemudian, mereka tiba berdekatan dengan pondok itu.  Ia dipenuhi dengan habuk dan sarang labah-labah.  Dinding papan pondok itu berlubang-lubang.

                 Tiba-tiba mereka terdengar suara “WOOOOOO!!!”

               “AHHH!” merekat teriak  sambil mengorak langkah seribu meninggalkan tempat itu. 

               Sebenarnya, ada empat orang lelaki yang menggunakan pondok itu sebagai tempat perjudian. Mereka tidak mahu ada orang luar yang mengganggu aktiviti dan tempat mereka bersantai.


Selasa, 20 Julai 2010

Syair dalam lagu

Sempena Bulan Bahasa, beberapa  bengkel yang menarik telah diadakan termasuklah  bengkel bagaimana untuk melagukan puisi atau syair.

Kawan saya, Qayyum dan Khairul telah dipilih untuk menyampaikan persembahan mereka.



Khairul dan Qayyum telah menggunakan Hang Nadim dan menyampaikannya dalam bentuk cerita dan puisi. Persembahan mereka sungguh menarik sekali. Ramai penonton yang tertarik dengan persembahan mereka. Begitu juga saya. Saya rasa, mereka telah berjaya menyampaikannya dalam bentuk bahasa yang amat indah.

Cuba awak lihat betapa menarik persembahan mereka ini. Persembahan mereka telah dipilih untuk Majlis Pembukaan Rasmi sekolah kami.


Hebat bukan? Syabas kepada mereka berdua!

Isnin, 19 Julai 2010

Drama Harimau dan Tikus

Di sekolah saya, cikgu memberi saya peluang untuk berdrama. Saya menjadi pencerita. Saya berlatih bersungguh-sungguh di rumah supaya saya dapat bercerita dengan baik. Saya dan rakan-rakan saya seronok dapat bercerita. Cerita ini mengisahkan seekor harimau yang baik hati. Dia telah melepaskan tikus dan tidak memakannya. Akhirnya, tikus menolong harimau daripada diperangkap pemburu. Cerita ini mengajar kita bahawa yang kecil pun boleh menolong yang lebih besar.

Lihatlah harimau dan tikus. Gurdiraj memang sajak menjadi harimau.


Jumaat, 16 Julai 2010

Silat

Silat merupakan seni mempertahankan diri. Ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri kita. Saya dan kawan-kawan telah berpeluang untuk belajar seni silat. Jurulatih silat telah menerangkan kepada kami tentang kebaikan silai. Mereka juga mengajar kami langkah-langkah silat. Pada pendapat saya, silat tidak mudah dilakukan tetapi ia merupakan satu seni yang amat menarik. Saya amat berminat untuk belajar silat dengan lebih lanjut. 

Encik Imran dan Encik Kadir merupakan jurulatih silat kami pada hari itu. Mereka pernah menjuarai pertandingan silat di Singapura dan di peringkat antarabangsa.
Sila klik pautan ini untuk informasi lebih lanjut mengenai mereka.
                                                        http://www.silatacademy.com/

Saya dan rakan-rakan sekumpulan juga diberi peluang untuk menemuramah mereka.

Selepas itu kami menuliskan hasil temu ramah itu dalam bentuk penyampaian di Powerpoint. Kami juga menceritakan pengalaman kami menjalani latihan silat dalam powerpoint itu.

Rabu, 14 Julai 2010

Membuat Batik

Dalam salah satu aktiviti dalam modular sastera, saya dan kawan-kawan diperkenalkan kepada seni batik. Membuat batik nampak sukar tetapi setelah saya mencubanya, saya dapati ia agak mudah dan menyeronokkan.


Bunga menjadi pilihan.
Dalam sesi itu, kami dikenalkan kepada alat-alat yang diperlukan untuk membuat batik. Antaranya ialah lilin parafin, berus cat, canting , periuk yang digunakan untuk mencairkan lilin, bingkai kayu, cat, dan kain kapas.

Kain kapas dilekatkan ke bingkai kayu dan pensel digunakan untuk mencorakkan lukisan. Selepas itu, canting dicelupkan ke dalam periuk mengandungi lilin untuk menggariskan corak yang telah pun dilukis terdahulu. Kemudian kami menggunakan berus cat dan pewarna untuk mewarnakan lukisan. Setelah selesai mewarna, batik dikeringkan sebelum ia digantung sebagai hiasan.
Mewarnakan lukisan bunga.


 
Selepas membuat batik, cikgu menugaskan kami membuat karangan berdasarkan pengalaman kami membuat batik. Cikgu menggunakan 'wordle' untuk mengumpulkan kosa kata yang baharu kami belajar. Perkataan-perkataan ini boleh digunakan dalam penulisan karangan kami.

Inilah hasil lukisan batik saya dan kawan-kawan. Cantik tak?

Gembira melihat hasil lukisan batik kawan-kawan.